Sabtu, November 28, 2009

Khabar Teman-teman Haji

Lokasi: Kuala Lumpur, Malaysia

Sudah lama saya ingin menulis tentang projek November saya ini. Sejak dua bulan ketika 'team' saya sibuk membuat liputan tentang persiapan keberangkatan unit media Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci. Saya yang terlibat secara separa-langsung dengan persiapan mereka sedikit sebanyak merasai kegembiraan diberi peluang istimewa untuk bertugas selaku tetamu Allah (walaupun tidak terlibat 100% ke Tanah Suci). Gembira, tetapi pada masa yang sama timbul juga perasaan 'gundah' apabila meletakkan diri saya di tempat teman-teman sekerja, seandainyalah saya turut menjadi sebahagian daripada unit tersebut... sejauh mana persediaan diri ini???

Namun, sejak hari pertama lagi, saya dan teman-teman memang sungguh teruja. Tidak pernah disangka-sangka kami bakal mendapat peluang ulung yang sangat bermakna sebegini rupa! Tiada siapa mengatakan tugas ini mudah dan ini bukan kerja main-main. Dugaan muncul sejak persiapan awal di tanahair lagi... namun, fikir saya, lebih baik diuji sekarang, sekurang-kurangnya kami telah, sedikit-sebanyak, bersedia dengan lebih banyak cabaran-cabaran mendatang. Perkara-perkara yang dalam projek biasa, mungkin boleh dianggap biasa, mahupun sekadar pejam mata, namun lain halnya dengan projek khas ini. Bermula dengan nama-nama petugas dan hosnya, para penaja, kelulusan visa dan sebagainya.

Ketika menguruskan penggambaran dan temubual pengacaranya juga, sampai ke peringkat akhir pun, beberapa nama ada yang tenggelam timbul dan tidak kurang yang terpaksa digugurkan atas sebab-sebab, antaranya, tidak mendapat kelulusan cuti panjang dan sebagainya. Itu memang dugaan namanya. Namun, ini salah satu bukti perlunya kerja berpasukan dan saya melihat 'team' Astro Oasis sangat menitik-beratkan hal ini. Memandangkan ia satu projek terbaru yang sangat besar buat saluran Inspirasi Sanubari, ia tidak teragak-agak untuk membawa masuk pakar-pakar berita dari Astro AWANI yang ternyata bersedia memberikan sokongan padu mereka dalam menjayakan siaran langsung Khabar Haji selama satu jam di Astro OASIS, bermula 7 – 30 November, 9 malam (dan ulangan pada 7 pagi dan 2 petang).

Temubual saya bersama 'anchor' Nazri Kahar dan pengurus saluran Astro Oasis sendiri, Tuan Haji Izelan Basar, banyak membuka mata. Andai persiapan projek-projek tempatan sudah kita anggap remeh dan saya juga dari jenis yang menitik-beratkan perkara-perkara kecil demi tahap menghampiri kesempurnaan, bayangkanlah apabila kita perlu bersiaran secara langsung dari luar negara buat pertama kalinya dalam sejarah diri dan kumpulan, di tengah-tengah lokasi tumpuan seluruh umat Islam dunia menjelang musim haji ini. Andai projek-projek kecilan saya sudah membuatkan saya tidak tidur malam hampir dua minggu menjelang acara, bayangkan projek besar yang sebegini, masya-Allah... Pastinya NIAT itu paling penting. (Lebih banyak kupasan dalam AstroView November 2009). Menarik untuk saya kongsikan di sini, penonton-penonton Astro sendiri berpeluang mengmabil bahagian dalam peraduan istimewa Khabar Haji yang menawarkan peluang menunaikan haji secara percuma untuk musim haji 2010, Insya-Allah!

Seorang lagi sahabat saya, yang banyak bertugas di belakang tabir, turut diberi kepercayaan dan tanggungjawab besar untuk muncul sebagai wartawan penyiaran. Dia yang kami kenal sebagai 'Jawa' rupanya punya bakat untuk muncul di kaca TV sebagai seorang pengacara! Kini, anda boleh menonton permata yang digilap ini menerusi rancangan yang sama. (Dan oh ya, Kamarul Ariffen nama betulnya!) Jawa dan 'team' Astro terus menjadi mata dan telinga kami di Malaysia melalui penulisan-penulisan terkini di laman web rasmi Astro. Paling menarik perhatian saya adalah tentang berita pembuat pintu Ka'abah yang baru sahaja meninggal dunia tahun ini pada usia 89 tahun. Innalillah... Sheikh Ahmad sudah mewarisi kepakaran dan penghormatan istimewa ini sejak berusia 15 tahun lagi dari ayahnya sendiri iaitu pereka dan pembina asal pintu emas Ka'abah sejak tahun 1942.

Doa saya, semoga team Astro dan seluruh warga Malaysia yang sedang menunaikan haji di Tanah Suci selamat pergi dan selamat, selamat menunaikan ibadah dan semoga mendapat haji yang mabrur hendaknya... Untuk maklumat lanjut tentang Khabar Haji, sila layari http://www.astro.com.my/khabarhaji/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan