Sabtu, Disember 05, 2009

Remy Ishak = Jejaka Idaman Malaya?

Saya tidak mengenali Remy secara peribadi. Tetapi saya berpeluang melaksanakan satu tugasan bersamanya. Remy, yang digandingkan bersama Sariyanti, menjadi pilihan ceritera utama bertema cinta sesuai dengan tajuk drama yang bakal ditayangkan di Astro kelak. Dengarnya hebat juga penangan drama tersebut...

Lokasi: Akademi Paintball Malaysia, Kompleks Sukan Astaka, Petaling Jaya.

Sebelum menguruskan perihal penggambaran bersama Remy dan Sariyanti, lebih kurang 2 minggu sebelum itu, umpama takdir, saya sudah pun menemui Remy dan 'team' teater Natrah di acara paintball SINAR di PJ. Remy dan Eirma Fatima yang sepatutnya hadir ke konti SINAR untuk promosi Natrah di udara beberapa hari sebelum itu pula, tak muncul-muncul pada saat-saat akhir sedang pegawai Istana Budaya yang bertugas siang-siang lagi sudah tiba di perkarangan Astro. Katanya mesyuarat Eirma dengan VIP penaung berlanjutan hingga ke petang. Remy, walaupun sudah dikosongkan jadual pada hari yang dijanjikan, tiba-tiba terikat dengan penggambaran sebuah drama sedang Linda dah berkali-kali mewar-warkan temubual bersama Remy dan Eirma sempena promosi teater Natrah di udara (SINAR selaku radio rasminya). Tak payahlah saya ceritakan berapa banyak telefon berdering pada hari itu menuntut penjelasan. Namun, hari Ahad apabila berlangsungnya kempen kesihatan "SINAR SIHAT: GAYA HIDUP SEIMBANG", di mana SINAR, pasukan paintball Wolverinez Malaysia dan Akademi Paintball Malaysia (MAPAAC) bekerjasama membawa penaja-penaja jemputan seperti McDONALD'S, 100PLUS, NESTLE dan MEASAT PUBLICATIONS memperkenalkan 'Police Sentry" (aka 'Police And Thieves') alaf baru (paintball le tu...), meraikan pendengar-pendengar setia SINAR yang sama-sama turun padang. Acara paintball Police Sentry SINAR ni dah kira masuk tahun ketiga dah dilancarkan sejak 2007 lagi. Jadi pada hari tu, Remy akhirnya hadir juga mengotakan janji.

Itu 'flashback'...

Lokasi: White Studio, Cheras.

Remy mengakui bahawa sepanjang kariernya, dia biasanya tidak akan menyentuh hal-hal peribadi dan lebih senang berbicara tentang perkembangan semasa projek-projek lakonannya. Namun, kerana menghormati tema cinta sesuai dengan tayangan telefilem tersebut, Remy sedia menyelak semula diari cinta lama atas nama keabadian cinta... (cerita lanjut dalam majalah AstroView keluaran Februari). Dipendekkan cerita, bagi saya, jika seseorang itu pernah hidup susah, dia akan lebih menghargai individu di sekeliling dan juga persekitarannya. Memang benar telahan saya. Dari nada percakapannya dan bahasa tubuhnya membayangkan betapa dia seorang yang sangat komited dan bersungguh-sungguh dan dia bukan main-main kala berlakon. Orangnya berwawasan dan sekarang juga sedang sibuk merancang masa depan.

Ini 'fast-forward'...

Lokasi: Istana Budaya.

Pertama kalinya saya berpeluang melihat bakat Remy Ishak secara langsung dalam percubaan pertamanya di pentas Natrah. Ya, saya ada sesekali menonton drama bersiri Nur Kasih yang menjadi fenomena baru di TV3. Namun, bagi saya, bakat lakonan pentas lebih layak menjadi kayu pengukur mereka yang bergelar artis. Berlakon puluhan drama, namun selagi anda tidak mencuba lakonan pentas, ilmu lakonan masih boleh dikira cetek. Belum menyeluruh. 'Jiwa, emosi dan 'feel-nya' lain. Kepuasan dan 'end result-nya' juga lain. Tetapi itu pendapat saya saja la... Jadi, saya memang 'salute' kepada barisan pelakon tempatan yang mahu mencuba lakonan pentas seperti Sofea Jane, Maya Karin dan Remy Ishak sendiri. Berani menyahut cabaran mencuba sesuatu yang baru.

Terbaru, dalam ramai-ramai sedang sibuk memperkatakan tentang kehebatan teater Natrah yang ditambah hari pementasannya atas permintaan ramai, timbul pula kes si Remy ishak dipukul dalam bilik persalinan Istana Budaya. Fikir-fikir balik di mana silapnya? Mungkinkah boleh dipertikaikan sistem keselamatan IB sehingga orang luar dibenarkan untuk masuk menemui artis sewenang-wenangnya? Pelik, kerana dua hari sebelumnya, ayahanda turut meminta kebenaran pihak IB untuk menemui sahabat lamanya, Eirma Fatima dan Alhamdulillah, permintaan kami dimakbulkan. Atas pengalaman ini saya percaya, ia bergantung kepada budi bicara pegawai bertugas (kebetulan saya mengenalinya) dan 'subjek' yang membuat permohonan juga - yakni, tidak mendatangkan ancaman atau wujud tanda-tanda yang boleh mengancam atau yang boleh mendatangkan kemudaratan. Atas dasar ini, terfikir juga saya, bukan senang-senang dapat masuk ke bilik persalinan tu jika anda tidak tahu lokasi tepatnya dan bukan senang-senang juga anda yang bertubuh sasa belaka dapat masuk secara berkumpulan dan memukul individu sesuka hati secara terang-terangan! Dalam pelbagai spekulasi yang dibuat, paling kuat dikaitkan kes cinta Remy-Ummi yang mendapat tentangan keluarga pihak berada. Namun, ada juga teman-teman dalam dunia hiburan sendiri mengandaikan bahawa ini boleh jadi sebahagian daripada strategi promosi teater Natrah. Uish, benarkah? Huh, tapi dunia sekarang semakin moden. Pemikiran manusia juga semakin kreatif. Segala-galanya tidak mustahil. Tapi itu cuma andaian semata-mata. Insiden yang berlaku mungkin satu satu ujian yang kebetulan. Yang penting, anda yang harus menilai faktanya. Jangan melulu menghukum mana-mana pihak, mahupun terburu-buru membuat kesimpulan tentang itu ini. Dalam suratkhabar, masing-masing pihak Ummi dan Remy sudah membuat kenyataan. Walaupun bercanggah, mereka punya hak untuk menegakkan pendirian masing-masing. Sumber-sumber saya memang benar dan asli, namun saya akui tidak mengetahui keseluruhan cerita, jadi saya pun tidak layak untuk membuat penilaiannya. Menghormati pendirian Remy yang tidak mahu mengganggu siasatan pihak polis, kita tunggu sajalah hasil siasatannya... Itupun kalau didedahkan kepada umum kelak. Kalau Remy yang bengkak-bengkak muka pun boleh bersabar dan memaafkan, apatah lagi peminat-peminat setianya.

1. Mengotakan janji
2. Menghargai, bersungguh-sungguh
3. Berwawasan; merancang masa depan
4. Sahut cabaran; cuba sesuatu yang baru
5. Bersabar; memaafkan

Itu antara sifat dan sikap Remy Ishak yang saya kongsi dari pemerhatian saya. Sebahagian lagi dalam penulisan saya di ruangan AstroView Februari 2010. Jadi, boleh atau tidak Remy Ishak disimpulkan sebagai Jejaka Idaman Malaya pada masa dan ketika ini, anda buatlah perkiraannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan