Ahad, Jun 14, 2009

Erra, Aleesya, Astro Ria dan Johnson's Baby...

Lokasi: Bangsar, 2 Jun 2009

Paginya saya menghadiri sidang akhbar Anugerah Planet Muzik di Jalan Tun Razak. Isinnya jangan tanya sebab saya dapat salah maklumat! Memang dapat jemputan acara bermula jam 10 pagi tetapi dari maklumat orang dalam yang sangat-sangat saya kenali katanya bermula jam 11. kalau macam tu, masih sempat nih, getus hati. saya pun cepat-cepat memandu dan sampai sekitar 11.30 pagi - huh dah masuk sesi bergambar dan menjamu selera. Alahai, salah daa... Apa lagi, senyum saja la... Minta maaf kepada pihak penganjur dan minta halal makan minum ye! :) Soalan-soalan yang saya tanya Aizat, nanti saya susun kembali dan harap-harapnya sesuailah dengan isu yang diusahakan.

Petangnya, bertandang pula saya ke majlis pelancaran rancangan Gugu Gaga Erra anjuran Astro RIA. Menarik untuk saya kongsi ialah ia menjadi rancangan realiti pertama yang 'masuk terjah' hidup selebriti. Tapi terjah kali ini dengan izin seisi keluarga. Jadi saya kira, masih diambil-kira budaya sopan-santun amalan orang kita. Memanglah konsepnya ala-ala tiru rancangan barat yang rakam segala hal, luar dalam sehingga mengganggu privasi artis tapi nampak gayanya itulah hala tuju industri kita hari ini. Kalau tak atas permintaan, tak akan saja-saja nak buat pula, kan? Ada demand, adalah supply. Tetapi saya rasa, mesej yang hendak disampaikan lebih jelas setelah konsep dan perancangan dijalankan malah ketika saya menulis ini, episod pertamanya sudah pun menemui penonton.

Kepada orang ramai yang mempunyai ramai anak, apalah sangat si Erra tu nak besar-besarkan pengalaman pertamanya menjadi ibu. tetapi difikir-fikirkan balik, memang cuak pertama kali menjadi ibu, kan? Cuba anda selami kembali pengalaman kali pertama anda disahkan mengandung anak sulung... Banyak cerita dan pengalamannya, kan? Ada yang menarik, ada yang tak seronok, ada yang elok tak kurang juga yang 'kurenggg' dan kebanyakan tak sempat dirakam pun. Namun, kalau dirakam pun hanya untuk tontonan keluarga terdekat sajalah... Apa hal pula nak dikongsi bersama orang ramai! Tetapi ibu yang ini, lain. Beliau bukan sebarangan orang. Beliau seorang bintang. Beliau Erra Fazira. Sejak namanya mula meniti di bibir-bibir kita, semenjak itulah kisah hidupnya menjadi bualan dan pandangan umum. Sejak itu, segala-gala tentang dirinya bukan lagi rahsia.

Pasti tidak mudah menjadi Erra Fazira. Di mana namanya berada sekarang adalah atas sokongan peminat-peminat setianya yang menjadi saksi jatuh-bangunnya dalam dunia seni. Jadi apa salahnya Erra mengambil inisiatif menjadikan rancangan ini sebagai buah tangan buat peminatnya. Yang menyokong perjalanan seninya. Mungkin menerusi rancangan ini juga, baru anda dapat melihat siapa diri Erra yang sebenar. Yang membuktikan bahawa beliau juga seorang manusia biasa yang menjalani hidup normal yang sama macam saya dan anda. Seorang wanita, isteri dan kini bergelar seorang ibu moden. Cuma kerjayanya saja yang membezakan namanya dengan nama saya dan nama anda...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan